Kebudayaan dan Kebebalan
Oleh Al-Mustaqeem M Radhi
Pesanan kepada pembaca: Maksud bagi penggunaan kata 'bebal' di sini sebahagiannya merujuk kepada perbincangan tentang 'bebalisme' oleh Almarhum Profesor Syed Husein Alatas dalam 'Intelektual Masyarakat Membangun.'
Rupanya, orang-orang yang serius pun dapat menghasilkan jenaka kalau mereka gopoh. Setelah hubungan antara kaum di Malaysia semakin tegang dengan peristiwa 13 Mei 1969, orang-orang serius yang berniat baik, khususnya cendekiawan dan budayawan tanahair, berkumpul dalam sebuah kongres kebudayaan. Hasil debat dan bincang mereka di sana membawa pula kepada wujudnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang, bagi saya, merupakan antara produksi jenaka terhebat dan termahal dalam sejarah Malaysia moden. Kalau kewujudan ini diberitakan kepada para seniman dan budayawan luar negara, saya percaya, nescaya mereka akan tercengang dan ketawa. Malahan istilah "Kebudayaan Kebangsaan" itu sendiri, wallahi, sampai sekarang masih membengongkan banyak bangsa di negara kita sendiri. Ahli antropologi terkemuka Clifford Geertz mengira dalam Mirror for Man (karya Clyde Kluckhohn) sahaja terdapat sebelas takrif bagi kebudayaan. Memang Clifford kemudian sampai kepada konsep kebudayaan yang didukung beliau sendiri, tetapi konsep itu pun, menurutnya, pada hakikatnya adalah sebuah konsep semiotik, dan analisis ke atas konsep tersebut "tidak merupakan sebuah ilmu eksperimental untuk mencari hukum, melainkan sebuah ilmu yang bersifat interpretatif untuk mencari makna." Bagi saya, tidaklah kerja menggariskan kebijakan bagi sesebuah negara itu dapat dianggap sebagai pencarian makna.
Kita harus tak lelah menanyakan guna dan juga akibat policy, dasar, atau lebih tepat kebijakan, kebudayaan yang akan mengekang perkembangan budaya. Sedangkan, sebahagian besar orang yang berfikir percaya bahawa sifat yang laik bagi kebudayaan ialah ia harus sentiasa berkembang. Mempertimbangkan hal ini, kita mula ragu-ragu kalau-kalau kebudayaan dapat berkembang baik dengan wujudnya garis-garis kebijakan yang kelazimannya mengikat dan membendung. Jadi lebih rumit lagi apabila sejak beberapa windu terakhir ini, di negara ini, kebudayaan yang cuba bergerak sentiasa disaingi oleh kemunculan lembaga-lembaga penguasa dan juga pemaksa. Antara lembaga yang dapat dimisalkan di sini ialah yang bersifat keagamaan, seperti mufti-mufti dan jawatankuasanya.
Saya merasa agak pasti anak-anak Bonda Malaysia pada hari ini, bahkan juga ramai bapa-bapa mereka, tak begitu pasti gerangan apa yang menyebabkan kata pengantar di buku Asas-asas Kebudayaan Kebangsaan, diterbitkan kerajaan pada tahun 1973, itu menggariskan tiga prinsip yang salah satunya menyebut "Islam sebagai salah satu unsur terpenting" bagi kebudayaan kebangsaan. Apakah ia ditetapkan sebegitu setelah orang-orang berkenaan beriman sungguh dengan ucapan pengukuhan profesor Syed Naquib Alatas, "Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu", di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1972? Syed Naquib dalam ucapannya itu nyaris menafikan sama sekali pengaruh agama lain terhadap kebudayaan Melayu. Orang dapat saja curiga di sini kenapa Islam tiba-tiba disebutkan dalam kata pengantar kepada kumpulan kertas kerja bagi kongres yang diadakan, kononnya, sebagai respons terhadap ketegangan hubungan antar-kaum.
Prinsip kedua di antara tiga prinsip yang disebutkan dulu itu menyebutkan bahawa "unsur-unsur kebudayaan lain, yang sesuai dan wajar, akan dimasukkan ke dalam Kebudayaan Kebangsaan." Tetapi barang diingat juga bahawa sebuah kaveat telah menjelaskan bahawa "sesuai dan wajar yang disebutkan dalam prinsip kedua itu perlu difahami dalam konteks prinsip pertama dan ketiga dan bukan dari nilai lain." Justeru itu, sambil tetap merasa pelik dengan usaha mewujudkan "Kebudayaan Kebangsaan", saya tidak hairan kalau banyak orang cuba mengkhususkan keumuman prinsip pertama, iaitu bahwa "Kebudayaan Kebangsaan akan berasas pada kebudayaan peribumi," dengan prinsip ketiga. Dalam konteks ini, prinsip ketiga tersebut dapat ditanggapi pula sebagai helah dan perisai untuk mengedepankan kebudayaan Melayu mengatasi kebudayaan-kebudayaan peribumi yang lain.
Syahdan, tibalah kita ke Malaysia hari ini yang lembaga-lembaga pengawal 'kebudayaan kebangsaan'nya telah berbiak hampir mantap. Antara yang telah makin mantap adalah lembaga mufti. Pada jalan sejarah lembaga ini banyak titik-titik pengharaman, termasuklah fatwa pengharaman yoga dan pengharaman-pengharaman lain yang sejadual dengannya. Kita tidak lupa juga bahawa selain lembaga mufti ada juga lembaga yang kerjanya mengharamkan buku-buku untuk mempastikan budaya persuratan dan kesusasteraan tidak terbabas dari garis kebijakan kebudayaan kebangsaan yang 'diterima umum'.
Saya merenung kasus pengharaman yoga ini dalam konteks wujudnya kebudayaan yang pelbagai dalam sebuah negara-bangsa seperti Malaysia-sebuah negara yang bangsanya, terdiri dari pelbagai kaum dan keimanan, saya percaya, masih bercita-cita untuk hidup rukun dan berkasih sayang sesama mereka. Telah lama, sekurang-kurangnya sejak tahun 80-an dulu, diperkatakan oleh mereka yang terlibat dalam dialog antar-agama bahawa toleransi saja tidak mencukupi. Untuk hidup dalam sesebuah negara yang berbilang kaum, budaya dan kepercayaan, orang harus naik setingkat lagi: ke tingkat empati dan berhempas-pulas untuk saling memahami, menghormati, dan bahkan lebih baik kalau dapat saling 'merasai' dan 'mengecapi' pengalaman pihak lain. Ternyata, fatwa pengharaman yoga jauh sekali dari mempertimbangkan keperluan untuk menghormati pihak lain. Lebih jauh dari itu, fatwa berkenaan-dengan alasan utama pengharamannya kerana dalam yoga terdapat unsur-unsur pemujaan keagamaan selain Islam-menandakan kebebalan mereka yang terlibat dalam menghadapi bukan hanya sensitiviti manusia dan kemanusiaan, malahan dalam menangani tradisi mereka sendiri yang cukup peka terhadap kepelbagaian budaya dan amalan kerohanian.
Kebetulan kala terbitnya fatwa haram terhadap yoga itu saya hampir selesai menterjemahkan buku Reza Shah-Kazemi, My Mercy Encompasses All. Penyusun buku ini mengumpulkan ayat-ayat Quran yang berkaitan dengan sifat belas kasihan Tuhan. Antara ayat yang menarik perhatian adalah ayat ke-39 dan 40 dalam surah ke-22: "Izin [untuk melawan kembali] diberikan kepada mereka yang diperangi, kerana mereka telah dianiaya ... mereka yang diusir keluar dari kampung halaman mereka tanpa alasan benar, hanya kerana mereka berkata: 'Penguasa kami adalah Tuhan.' Andai tidak kerana Tuhan telah menolak (pencerobohan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, nescaya biara-biara, gereja-gereja, saumaah-saumaah, dan masjid-masjid-tempat Nama Tuhan diulang-sebut-tentu telah dirobohkan"
Orang boleh menghujahkan bahawa ayat ini ditujukan dalam konteks berbeza, iaitu dalam soal mempertahankan hak non-Muslim dan sebagai taktik politik untuk menarik non-Muslim ke dalam Islam, dengan jubah "tolak ansur". Kita boleh menerima hujah ini, kerana zahir ayat berkenaan juga menyebutkan hal yang sama. Cuma, dalam masa yang sama kita juga boleh menerima hujah ini sebagai satu lagi hujah orang bebal, justeru zahir bukanlah segala-galanya. Untuk apa Tuhan dalam Quran menganjurkan Muslim mempertahankan semua rumah ibadat, bukan hanya masjid? Saya tidak mampu mengengkari kemungkinan bahawa arahan mempertahankan rumah ibadat ini menyiratkan rasa suka Tuhan apabila ia dipuja-puja, dengan bermacam cara; ia menyiratkan pengiktirafan melampaui bahasa kelompok manusia. Kata Reza Shah-Kazemi: "Fighting to defend believers and their places of worship is thus to be understood in essence as an act of compas-sion for the sake of peace, and in order to establish the conditions in which devotion can be performed [Justeru itu, berjuang mempertahankan orang beriman dan rumah ibadat mereka di sini boleh ditanggapi sebagai tindakan berbelas kasih demi keamanan, bagi mengujudkan keadaan di mana pengabdian boleh dilakukan]."
Saya perlu sebutkan di sini, sederhananya wajar saja untuk para mufti mengeluarkan fatwa sebegitu. Dalam tradisi fekah Islam yang klasik, fatwa tidak mengikat; ia hanya berfungsi memberi pedoman untuk orang awam. Masalahnya adalah apabila fatwa tersebut disambut oleh orang-orang yang lebih bebal di kalangan pemerintah dan pentadbir kerajaan untuk diwartakan.
Justeru hal-hal terbitan yang tidak molek dari usaha-usaha pembentukan dasar atau kebijakan inilah saya mencemuh Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Usaha-usaha ke arah tersebut sampai kini lebih banyak menciptakan orang-orang yang membenci hukum, atas alasan yang hampir persis seperti disebutkan Gibran Khalil Gibran dalam Potret Diri: "... aku tidak suka hukum ciptaan manusia dan aku membenci tradisi warisan nenek moyang kita. Kebencian ini adalah buah cintaku kepada kemuliaan budi yang suci dan spiritual yang harus menjadi sumber setiap hukum di atas bumi, kerana kemuliaan budi adalah bayang-bayang Tuhan dalam diri manusia."
Saya belum sepenuhnya seperti Gibran yang membenci tradisi warisan, justeru di negara ini untuk mengenal tradisi warisan sendiri pun orang dihambat dikekang.
Alang-alang membuka nyali, dan atas kecintaan kepada kemuliaan budi dan akal-budi, kita harus biarkan saja terbentuknya kebiasaan-kebiasaan baru yang membaik dan menyihatkan raga serta jiwa. Kebiasaan-kebiasaan ini, bersenam yoga contohnya, pada gilirannya tidak mustahil akan menghasilkan pula kebudayaan-kebudayaan yang menghidup dan menyegarkan. Saya mengandaikan yoga dapat membantu pengamalnya meningkatkan penumpuan; peningkatan penumpuan ini, kalau bagi saya sebagai seorang Muslim, akan membantu saya khusyuk dalam sembahyang; sembahyang pula, pada gilirannya, dapat menumbuhkan jiwa-jiwa yang serba sedar akan keterbatasan diri untuk mengenal-termasuk akan ketidak-berdayaannya untuk membolot-Kebenaran.
Saranan lain yang sederhana tetapi tak kurang payah ialah agar setiap bangsa yang menghuni Malaysia mengasah pengetahuan tentang kebudayaan masing-masing, serta memahirkan pengamalannya. Yang disayangkan sekarang bukanlah justeru kanak-kanak memilih Playstation melebihi congkak. Sebaliknya, yang disayangkan ialah apabila Melayu sekarang menjadi miskin lisan dan pengucapannya justeru ia tidak lagi mengenal karya-karya kesusasteraan seperti Sulalatus Salatin dan Merong Mahawangsa, atau tradisi lisan seperti Mak Yong, Jikey, pantun, syair dan gurindam. Hitungkan kecilnya jumlah kosa kata yang dipakai diulang saban hari oleh sekian banyak akhbar dan majalah berbahasa Melayu; hitungkan pula bilangan karya-karya agung dunia yang tidak terterjemahkan ke Bahasa Melayu justeru kelemahan penguasaan dan pengalaman berbahasa penulis-penterjemah Melayu sendiri.
Kebiasaan baru yang sedang muncul berkembang dapat saja membuahkan yang hodoh. Maka, kalau kebiasaan itu buruk dan menyalahi hukum, maka lepaskan pelakunya ke tangan undang-undang. Kalau kebiasaan berzina sampai membuatkan orang membuang anak ke jamban, maka dia harus ditangkap dan dihukum. Kalau kebiasaan buruknya itu terselindung dari mata kasar undang-undang, maka taruhlah iman kepada Tuhan, justeru bukankah Dia adalah al-Muntaqim, Maha Penuntas Dendam?

Al-Mustaqeem M Radhi ialah penulis dan penterjemah, dan graduan Pengajian Islam, Universiti Mu'tah, Jordan. Dia merupakan Zamil Kehormat Penulisan, International Writing Program, University of Iowa.